Friday, October 25, 2013

Sakit itu Penghapus Dosa.

Assalamualaikum...
Salam jumaat buat semua..Alhamdulillah, hari ini diberi kesihatan yang baik untuk menulis entri dan berkongsi cerita dengan sahabat blogger lagi. Dua hari yang lepas, wanie telah mengalami demam yang agak teruk sehingga tidak larat untuk melakukan apa-apa tugasan kuliah dan sebagainya. Hanya mampu berehat dan tidur sahaja.

Sebenarnya, semasa kita sedang sihat, kita jarang merasa nikmat kesihatan itu. Apa yang kita rasa hanyalah biasa-biasa sahaja. Menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Namun, apabila kita diuji dengan kesakitan, atau sebarang penyakit, barulah kita sedar, betapa indah dan seronoknya ketika sihat. Masih teringat keadaan wanie masa demam kelmarin, ingin bergerak sahaja sudah sakit kerana seluruh badan terasa bisa akibat demam panas, sering terjaga jam 2 hingga 3 pagi akibat terlalu panas dan sakit kepala, langsung tiada selera makan dan sebagainya. Di dalam hati, hanya mampu berdoa dan istigfar tanpa henti.

Hakikatnya, sakit yang Allah kurniakan kepada kita adalah merupakan suatu ujian dan manusia yang bersabar dengan ujian sakit akan dihapuskan dosanya. Allahuakbar...Oleh itu, ketika sihat, hargai diri sendiri dan jangan terlepas dan leka dalam menunaikan kewajipan kita, kerana nikmat sihat itu boleh ditarik pada bila-bila masa. Pada masa sakit pula, sentiasa bersabar dengan ujian Allah dan positifkan diri supaya penyakit tidak menjadi sesuatu yang begitu membebankan. Dalam masa yang sama juga, sentiasa berdoa dan berikhtiar supaya dapat menyembuhkan penyakit atau kesakitan yang dihadapi..InsyaAllah..